Pola petempatan Petempatan manusia

Terdapat tiga pola petempatan yang dipaparkan dalam peta topografi, iaitu petempatan berjajar, petempatan berselerak dan petempatan berpusat.[3]

Di Malaysia, empat pola petempatan yang wujud iaitu petempatan berjajar, petempatan berselerak, petempatan berkelompok dan petempatan berpusat. Petempatan berjajar berpolakan bangunan rumah-rumah penduduk dibina sejajar dengan jalan raya dan di tepi pantai dan sungai. Ia kelihatan tersusun rapi dan seragam dari perimejan satelit. Contohnya dapat dilihat di sepanjang Batang Rajang di Sarawak, Malaysia. Petempatan berselerak dapat dijumpai di kawasan luar bandar iaitu kampung dan perkampungan desa yang di mana rumah atau bangunan yang dibina berselerak dan berjauhan antara satu sama lain. Contohnya dapat diperhatikan di kampung-kampung tradisional Malaysia. Petempatan berkelompok pula boleh dijumpai kawasan perumahan di ladang kelapa sawit yang diuruskan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) seperti FELDA New Zealand di Pahang. Akhir sekali, pola petempatan berpusat mempunyai ciri-ciri rumah atau bangunannya dibina secara rapat di sesuatu kawasan yang menjadi tumpuan penduduk setempat. Ia biasanya dijumpai di pekan, bandar dan bandar raya dan dilengkapi dengan kemudahan asas seperti masjid, gereja, sekolah, bangunan komersial dan sebagainya.[4]